Wednesday, June 19, 2013

Kecemerlangan Dalam Pelbagai Bidang

Menara Berkembar Petronas merupakan simbol kemodenan dan kemajuan Malaysia dalam sains dan teknologi. Dilengkapkan pada tahun 1998, menara berkembar ini merupakan visi mantan Perdana Menteri ke-4, iaitu Dr. Seri Mahathir bin Mohammad dalam usaha pemodenan Malaysia seiring dengan perkembangan dunia yang semakin pesat supaya negara tidak ketinggalan. Menara ini direka oleh dua orang arkitek dari Argentina, César Pelli dan Djay Cerico dan menjadi bangunan tertinggi di dunia pada masa itu. Gelaran bangunan tertinggi di dunia bagi Menara Berkembar Petronas bertahan dari tahun 1998 hingga 2004, sebelum bangunan Taipei 101 di Taiwan siap dibina dan diiktiraf sebagai bangunan tertinggi di dunia pada tahun 2004. Walau bagaimanapun, menara berkembar ini masih menjadi ikon Malaysia yang berwawasan dan bangunan ini akan sentiasa mengingatkan rakyat bahawa negara Malaysia mampu menjadi negara yang maju dan berjaya.
Bangunan ini mempunyai ketinggian sebanyak 451.9 m dan keluasan sebanyak 395,000 meter per segi. Bangunan ini juga mempunyai 88 tingkat dan kos pembinaan kedua-dua menara menelan sebanyak RM1.6 bilion! Terdapat beberapa cirri-ciri dalam bangunan ini yang menjadi tarikan pengunjung dan antaranya ialah “Skybridge”, iaitu sebuah jambatan yang menghubungkan kedua-dua menara dalam tingkat 41 dan 42. Selain menonjolkan nilai estetika menara berkembar ini, jambatan “Skybridge” ini juga berfungsi sebagai aspek keselamatan sekiranya berlaku kecemasan seperti kebakaran dalam salah satu menara. Selain jambatan ini, taman KLCC yang terdapat di perkarangan bangunan ini (terletak berhampiran Suria KLCC) juga menjadi faktor tarikan pengunjung. Seluas 17 ekar, taman ini mempunyai panorama yang begitu indah walaupun terletak di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Lumpur dan pelbagai kemudahan disediakan seperti jalan khas untuk berjalan atau berjoging dan taman permainan kanak-kanak. Taman KLCC juga memiliki pancut air dan pertunjukan cahaya yang menjadikan taman itu amat mempesonakan bagi mereka yang mengunjung taman itu pada waktu malam.
Sememangnya Menara Berkembar Petronas merupakan kejayaan Malaysia yang terbesar pada zaman modenisasi ini dan kita sebagai rakyat Malaysia haruslah berbangga dengan Malaysia yang mampu mencapai kejayaan dalam bidang sains mahupun teknologi. Sekiranya kita mengambil iktibar daripada bangunan berkembar ini, kita mampu menghasilkan kejayaan yang lebih besar lagi, selagi kita percaya bahawa “Malaysia Boleh”.


No comments:

Post a Comment